Sunday, March 27, 2011

Saturday, March 12, 2011

Perjuangan Belum Selesai



Perjuangan Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.



Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)

Friday, March 11, 2011

A doctor in the house: The memoirs on Tun Dr Mahathir Mohamad


Rasanya dah hampir 2 minggu saya tidak mengemaskini penulisan dalam ruangan blog ini.
Saya ingin berkongsi dengan teman-teman sekalian berkenaan
buku tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru diterbitkan.
Buku yang berjudul
"A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad"
telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir pada 9 Mac 2011 dalam
satu majlis di East Atrium Concourse, Mid Valley Megamall.


Buku tersebut menggunakan perantara Bahasa Inggeris sebagai medium penulisannya, memuatkan kisah perjalanan hidup
mantan Perdana Menteri tersebut yang ditulis sendiri oleh beliau.


Buku ini telah diterbitkan oleh MPH Group Publishing Sdn. Bhd.
yang mengandungi 800 halaman dan dijual pada harga RM100 senaskah.
Buku ini telah mendapat sambutan luar biasa dimana pada hari pelancarannya sahaja telah menjual 253 buah naskah buku. Tambahan pula, pihak MPH telah menerima tempahan daripada beberapa pembeli dari luar negara. Menurut rekod, buku ini telah dijual sebanyak 1000 lebih naskah sejak hari pelancarannya.


Saya syorkan teman-teman untuk dapatkan buku ini di MPH berdekatan anda :)