Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Setiap tahun kita di seluruh Malaysia meraikan Hari Guru sebagai mengenang jasa dan peranan warga pendidik yang selama ini telah mendidik anak bangsa sehingga berjaya mencapai cita-cita mereka. Guru atau cikgu merupakan pendidik yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara ini. Justeru, peranan guru sewajarnya diiktiraf kerana tanpa mereka siapalah kita kini.

Jasa dan bakti yang diberikan oleh golongan pendidik telah melahirkan ramai golongan intelektual dan professional tanah air misalnya YABerbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad (Mantan Perdana Menteri Malaysia), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), Tan Sri Azman Hashim (Pengerusi Kumpulan AmBank), dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari (PengasasYayasan Al-Bukhari). Tambahan pula, semangat golongan pendidik yang sanggup berkorban masa mengajar anak didik daripada bandar hingga ke luar bandar harus dihargai. Dewasa ini, tugas guru semakin hari semakin mencabar. Namun berkat semangat yang tinggi, cikgu atau guru gagah berdiri menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kita tanpa mengira masa dan sempadan.

Tahun ini, kita bakal menyambut Hari Guru dengan tema
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Terima Kasih Cikgu saya ucapkan, khususnya kepada
Bonda saya, Cikgu Mariza dan

cikgu-cikgu di:
SK Telok Malek (1996-2001)
SMK Bandar Baru Darulaman (2002-2004)
SMK Jitra (2005-2006)



Sajak "Guru O Guru"
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Tuesday, May 10, 2011

Selamat Menyambut Ulangtahun UMNO ke-65


Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh ahli parti untuk meningkatkan usaha dan bekerja keras bagi mencipta masa depan negara yang cemerlang termasuk di persada antarabangsa.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan bukan wujud secara semulajadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam kepimpinan dan ahli UMNO sepanjang 65 tahun penubuhannya.

“Dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta dugaan dan pengalaman ini telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik semasa,” katanya.

“Dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta dugaan dan pengalaman ini telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik semasa,”

Beliau berkata demikian dalam perutusan melalui UMNO-Online sempena Ulang Tahun UMNO ke-65 yang akan diraikan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei ini.

Ujarnya, badai yang melanda UMNO pada pilihan raya umum yang lalu bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik atau tersu mengeluh panjang dan mengenang perkara lalu.

“Hakikatnya, jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan maka sebenarnya ia hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat. Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi.

“Justeru seluruh ahli parti perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera, jangan sesekali biarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.”

Tegasnya lagi, ingatlah jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini.

Friday, May 6, 2011

Selamat Hari Ibu


Sempena Hari Ibu,

Saya ingin ucapkan Selamat Hari Ibu kepada Mak, Mariza Bt. Md. Zuki yang selama ini telah mendidik Fauzan dan adik-adik. Sekalung penghargaan fauzan berikan buat Mak atas didikan yang diberikan. Mohon kemaafan atas sebarang kesilapan atau kekhilafan yang telah Fauzan lakukan. Sekali lagi Fauzan ucapkan SELAMAT HARI IBU!!! :)


Nukilan khas buat Mak:

SAJAK UNTUK IBU

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...

Sunday, May 1, 2011

Ulangtahun ke-22


Hari ini 2 Mei 2011 merupakan tarikh yang bermakna dalam catatan kehidupan saya. Sesungguhnya saya bersyukur kerana diberi ruang
bagi meneruskan perjuangan mencapai cita-cita saya.

Perjalanan yang jauh ini harus diteruskan meskipun pelbagai cabaran
dan dugaan mendatang namun kesabaran yang
menjadi kayu ukur bagi satu-satu kejayaan.

Dalam penulisan ini bersempena hari lahir saya, saya ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan buat Mak Abah dan Adik-adik
yang selama ini telah mendokong serta menjadi sumber inspirasi saya selama ini.
Pada masa yang sama, terima kasih buat
teman-teman seperjuangan yang sentiasa berada disisi sama ada susah mahupun senang.


[Makan malam di Concorde Shah Alam sempena hari lahir ke-22]