Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Setiap tahun kita di seluruh Malaysia meraikan Hari Guru sebagai mengenang jasa dan peranan warga pendidik yang selama ini telah mendidik anak bangsa sehingga berjaya mencapai cita-cita mereka. Guru atau cikgu merupakan pendidik yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara ini. Justeru, peranan guru sewajarnya diiktiraf kerana tanpa mereka siapalah kita kini.

Jasa dan bakti yang diberikan oleh golongan pendidik telah melahirkan ramai golongan intelektual dan professional tanah air misalnya YABerbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad (Mantan Perdana Menteri Malaysia), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), Tan Sri Azman Hashim (Pengerusi Kumpulan AmBank), dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari (PengasasYayasan Al-Bukhari). Tambahan pula, semangat golongan pendidik yang sanggup berkorban masa mengajar anak didik daripada bandar hingga ke luar bandar harus dihargai. Dewasa ini, tugas guru semakin hari semakin mencabar. Namun berkat semangat yang tinggi, cikgu atau guru gagah berdiri menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kita tanpa mengira masa dan sempadan.

Tahun ini, kita bakal menyambut Hari Guru dengan tema
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Terima Kasih Cikgu saya ucapkan, khususnya kepada
Bonda saya, Cikgu Mariza dan

cikgu-cikgu di:
SK Telok Malek (1996-2001)
SMK Bandar Baru Darulaman (2002-2004)
SMK Jitra (2005-2006)



Sajak "Guru O Guru"
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


0 comments: