Monday, August 29, 2011

Menyambut Hari Raya Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W


Assalamualaikum teman sekalian.
Syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya
kita dapat menyempurnakan ibadah puasa kita pada bulan Ramadhan selama sebulan.
Kini Syawal tiba lagi.
Saya yakin pada waktu ini mesti setiap orang daripada kita sibuk
menyiapkan kelengkapan untuk menyambut Syawal.

Dalam Islam, terdapat garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari raya.
Berikut merupakan garis panduan menyambut hari raya mengikut sunnah Rasulullah SAW:


BERTAKBIR
Pada 1 Syawal, umat Islam digalakkan untuk bertakbir.
Takbir ini bermula ketika terlihatnya hilal(anak bulan)
pada malam raya pertama dan berakhir setelah selesainya ketika imam mula berkhutbah.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan),
supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir)
kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."
[Surah Al-Baqarah: 185)


LAFAZ UCAPAN SELAMAT
Sempena Syawal, umat
Islam digalakkan untuk mengucapakan ucapan
'taqabbalallahu minna waminka'
(semoga Allah menerima amalan kami dan amalan mu).

Diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h
yang dinukilkan
daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
"Apabila para sahabat Rasulullah S.A.W bertemu di hari raya,
sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain
'taqabbalallahu minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalan mu)."


MENERUSKAN QIAMULLAIL
Sepanjang bulan Ramadhan, masing-masing daripada kalangan kita menghidupkan malam dengan pelbagai ibadah seperti solat sunnat taraweh, solat tahhajjud, berzikir, dan bertadarus.
Amal ibadat tidak sewajarnya terhenti apabila Ramadhan itu berakhir tetapi amal ibadat yang dilakukan sewajarnya diteruskan.


MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH
Disunnahkan kaum muslimin dan muslimat menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis, menampak susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menjerumuskannya ke dalam kemungkaran.
Disunnah juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka menghidu kewangiannya (untuk menarik perhatian), dia adalah (ibarat penzina."
[Hadis riwayat al-Nasaai]

Walaubagaimanapun, tidak bermakna wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk.
Islam adalah agama yang menitik beratkan kebersihan serta kesihat diri.
Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya.
Haruman yang kuat dan boleh menarik perhatian lelaki hanyalah khusus untuk suaminya.


MENGERJAKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan Solat Sunat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.


Ibn Abbas r.a berkata:
"Rasulullah S.A.W telah keluar pada hari raya (pertama) Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat.
Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya."
[Hadis riwayat al-Bukhari]


MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM HARI PADA BULAN SYAWAL

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun."
[Hadis riwayat Muslim]

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Kiraan setahun mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepda setiap amalan soleh akan digandakan sepuluh pahala oleh Allah S.W.T.
30 hari Ramadhan ditambah 6 hari digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu jumlah hari untuk satu tahun.

Tambahan pula, terdapat banyak lagi perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut hari raya ini seperti berjalan kaki ke masjid untuk sembahyang sunat hari raya, mandi pada pagi raya, dan makan sebelum menunaikan sembahyang sunat hari raya.

Konklusinya, Syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa dan ibadah-ibadah lain sepanjang bulan Ramadhan. Justeru, kita sewajarnya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan, dan bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Semoga Hari Raya Aidilfitri yang menjelma ini disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan syiar Islam

0 comments: