Saturday, June 25, 2011

BN Youth Job Fair 2011 di Kedah


BN Youth Job Fair 2011 atau Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011 akan diadakan di
Sungai Petani, Kedah pada 1 - 3 Julai 2011.
Karnival kerjaya tersebut bakal bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 7 malam.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato' Ahmad Bashah.

Sebarang maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh daripada
laman web www.bnyouthjobfair.my atau
menghubungi pejabat sekretariat BN Youth Fair di talian 03-22614700.

Saturday, June 18, 2011

NEW Myvi 2011



Akhirnya Perusahaan Otomotif Kedua atau lebih dikenali sebagai Perodua melancarkan secara rasmi model baru Perodua Myvi. Majlis pelancaran Myvi baru itu telah disempurnakan oleh Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
pada 16 Jun 2011.


Sejak dibuka untuk tempahan pada 4 Jun yang lalu, Myvi keluaran terbaru daripada Perodua ini telah menerima jumlah tempahan sebanyak 10,000 unit. Ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan bagi keluaran produk tempatan ini. Tambahan pula, reka bentuk dan fungsi model terbaru ini telah ditingkatkan selari dengan aspirasi Perodua iaitu menghasilkan kereta yang berkualiti.

Perodua Myvi dijual pada harga atas jalan bermula dari RM43,900 bagi transmisi manual standard hingga RM57,000 bagi transmisi automatik. Transmisi manual standard bagi Myvi baru ini mempunyai tahap pemanduan yang lebih jauh iaitu 17.5 kilometer bagi setiap liter petrol berbanding model sebelumnya 17.1 kilometer. Sementara itu, model Myvi transmisi automatik mampu bergerak 14.6 kilometer bagi setiap liter bahan bakar berbanding 13.5 kilometer bagi model Myvi sebelumnya. Myvi baru ini menawarkan variasi warna iaitu sebanyak enam warna sebagai pilihan termasuklah warna Ungu Mystical yang akan diperkenalkan pada bulan Ogos ini. Dalam pada masa yang sama, warna-warna lain ialah Hitam Ebony , Kelabu Medallion, Kelabu Glittering, Putih Pearl, dan Putih Ivory.


Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid bahawa model Myvi baru ini lebih daripada sekadar estetika kerana ruang dan alunan rupa bentuk badan kenderaan itu meningkatkan tahap aerodinamik, memboleh tahap penggunaan bahan bakar lebih cekap.












Sunday, June 5, 2011

Himpunan Sejuta Belia 2011


Pada 27 Mei 2011 sehingga 29 Mei 2011, satu himpunan belia secara besar-besaran telah diadakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Himpunan Sejuta Belia 2011 ini diadakan bersempena dengan Hari Belia Negara 2011.


Sepanjang 3 hari himpunan belia ini berlangsung, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti aktiviti sukan, pameran, dan forum. Pembabitan secara keseluruhan belia dalam program-program yang diadakan membuktikan bahawa belia kita boleh dan mempunyai keupayaan yang tinggi dalam pembinaan jati diri sebagai belia harapan negara.


YAB Dato' Sri Najib dalam ucapannya ketika di Himpunan Sejuta Belia 2011 telah mengumumkan Enam Inisiatif Belia. Seperti di bawah:

  1. Mewujudkan Taman Belia di Putrajaya selaras hasrat kerajaan menjadikan pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar raya mesra belia. Perbadanan Putrajaya diarah menyediakan kemudahan infrastruktur bagi taman itu termasuk tapak perkhemahan;

  2. Mewujudkan Parlimen Belia untuk membolehkan wakil yang dipilih belia menyatakan pandangan, cadangan dan cita rasa golongan itu kepada kerajaan. Ia adalah persediaan untuk masa depan negara serta usaha kerajaan memahami pandangan, cadangan dan cita rasa belia bagi membolehkan wakil golongan itu berbahas usul dan kerajaan akan menimbangkannya;

  3. Mewujudkan portal belia sebagai satu galeri untuk memaparkan kegiatan belia di seluruh negara;

  4. Memperkenalkan Ikon Belia bagi menonjolkan tokoh belia dan remaja negara ini yang boleh menjadi idola kepada rakan lain. Mereka akan menjadi contoh kepemimpinan kepada belia;
  5. Program My Corps untuk memupuk semangat khidmat sukarela di kalangan belia dan meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan golongan itu dalam segala kegiatan.

  6. Program The Leader iaitu mentor-mentee yang boleh memberikan galakan ke arah mewujudkan belia yang berjaya dalam bidang keusahawanan, aktiviti sosial, pentadbiran awam dan profesional.
Disamping itu, Perdana Menteri juga turut melancarkan program Sejuta Impian terbitan TV3 bersempena Karnival Jom Heboh Edisi Hari Belia Negara 2011 di Putrajaya. Program ini menawar insentif sebanyak RM1 Juta kepada peserta yang layak untuk memenuhi impian masing-masing. Program ini hasil kerjasama antara TV3, Telekom Malaysia (TM), dan Dana Belia 1 Malaysia (DB1M)


Dalam kesibukan tugas sebagai Perdana Menteri, Dato' Sri Najib meluangkan masa meninjau 12 kawasan program selama 3 jam termasuk beramah mesra dengan para pengunjung yang hadir.

Selain itu, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa mengunjungi kawasan himpunan belia. Beliau memuji semangat dan kesungguhan warga belia dalam memastikan kejayaan Himpunan Sejuta Belia 2011 dengan turut serta dengan pelbagai aktiviti yang diadakan.