Tuesday, November 29, 2011

Teks Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2011 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO


“MENUNJANGI SURVIVAL BANGSA: SUATU JIHAD”

DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin

Ketua Pergerakan Pemuda

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin

Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.

1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid ke hadrat Allah S.W.T. dan selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam yang bersejarah ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2011.

2. Perhimpunan tiga sayap penting parti UMNO ini adalah kemuncak manifestasi suara akar umbi umat Melayu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasa, kesucian agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahan dan keutuhan parti UMNO sebagai gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang-ganti ini diperkukuh dan diperteguhkan. Inilah perhimpunan terbesar umat Melayu yang mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, dari segenap lapisan warga, untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera di samudera perjuangan meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta.

Kesatuan kita ini ibarat kata pepatah Melayu:

Bulat Air kerana Pembetung

Bulat Manusia kerana Muafakat

Kata seia kata sepakat

Setuju sependirian setuju sependapat

Kata dibulati kata bertepati

Janji termeteri, kejayaan dinikmati

3. Maka dalam semangat Maal Hijrah, marilah kita perkukuhkan kesatuan hati sesama kita, marilah kita semarakkan muafakat yang membawa berkat, supaya terpancar darinya sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Demikianlah ajaran junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. yang membentuk kesatuan Ansar dan Muhajirin, yang mendamaikan permusuhan ‘Auz dan Khazraj.

4. Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

Kuasa Politik Melayu Goyah, Fitnah Terhadap UMNO

Saudara dan Saudari Sekalian,

5. Langit tidak selalunya cerah, laut tidak selalunya tenang. Tsunami politik yang melanda ketika Pilihanraya Umum 2008 dilihat oleh banyak pihak sebagai titik mula perubahan lanskap politik yang ketara di negara kita. Barisan Nasional kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen. Kedudukan UMNO dan parti-parti komponen BN tidak sekuat dahulu. Kuasa politik Melayu semakin goyah.

6. Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan. Na’uzubillahi min zalik.

7. Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada YAB Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallāha ma’ana.

8. Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

Tembelang Pembangkang

9. Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

10. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

11. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihanraya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.

12. Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

13. Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu.

14. Hari ini kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.

15. Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera.

16. Begitulah juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

17. Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO. Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka. Yang petah berceramah menggunakan pentas Islam untuk menjaja pelbagai konsep fikah – daripada fiqh maqasid kepada qazaf – semata-mata untuk membela Ketua Umum mereka. Bagi yang berfikiran ultraliberal, mereka mengambil kesempatan atas kemelut moral yang berlaku untuk mewajarkan pelbagai amalan yang bertentangan dengan budaya masyarakat Timur atas nama kebebasan. Mutakhir ini, pemikiran pluralisme agama yang amat mengelirukan umat Islam juga cuba dimurnikan oleh golongan ini semata-mata untuk mewajarkan pemikiran Ketua Umum mereka yang semakin bercelaru.

18. Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan Ketua Umum mereka. Dari satu segi, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya, iaitu mempertahankan seorang individu. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada PKR, walaupun sebenarnya:

Hisap rokok dalam kelambu,

Terbit asap menjadi abu

PKR umpama golok kayu

Tetak tak lut gadai pun tak laku.

19. Lain pula halnya dengan PAS. Suatu ketika dahulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa sahaja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS.

Saudara dan Saudari Sekalian,

20. Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk.

21. Anehnya, PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS. Bagi PAS, dalam menghadapi lanskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri.

22. Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?

23. Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka.

24. Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan. Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan.

25. Sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan. Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP.

Keresahan Melayu

Saudara dan Saudari Sekalian,

26. Perkembangan mutakhir ini semakin meresahkan orang Melayu. Mereka tertanya-tanya apakah nasib masa depan umat Melayu di tanah air sendiri. Terbangunkah ekonomi Melayu dan Bumiputera jika apa sahaja usaha untuk membantu mereka dianggap sebagai rasis dan berpilih kasih? Apakah orang Melayu dan Bumiputera akan mendapat bahagian yang adil dalam pengagihan kekayaan? Wujudkah peluang-peluang ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam dunia yang semakin kompetitif?

27. Bagaimana dengan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera? Masihkah boleh mereka bergantung harap kepada biasiswa daripada kerajaan? Apakah ada ruang untuk mereka membangunkan potensi diri dalam rancangan pembangunan modal insan negara? Bagaimana pula dengan peluang-peluang pekerjaan untuk mereka? Selain itu, apakah kedudukan istimewa agama Islam akan terus terjamin? Terbelakah agama Islam jika serangan bertubi-tubi kepada institusi-institusi Islam berterusan? Terpeliharakah kesucian Islam jika parti seperti DAP lebih berpengaruh mentakrifkan Islam?

28. Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?

UMNO Adalah Jawapan Kepada Keresahan Melayu

29. Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.

30. Hakikatnya, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Presiden selaku Perdana Menteri. MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif.

31. Terkini, YAB Perdana Menteri telah pun melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik iaitu, (i) pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan Bumiputera; (ii) pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian; dan (iii) penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar. Tiga fokus strategik ini diharapkan dapat melonjakkan pencapaian Bumiputera dalam bidang ekonomi. Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai projek pemula di bawah Program Transformasi Ekonomi dan juga melalui Program Transformasi Luar Bandar. Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi Bumiputera.

32. Begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan. Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh 5 tahun akan datang. Semua ini adalah manifestasi komitmen UMNO untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berjaya dalam kehidupan.

33. Yakinilah, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO akan terus membela hak anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan segala bantuan pendidikan yang layak bagi diri mereka. Pada masa yang sama, atas dasar keadilan, kita juga tidak menafikan hak anak-anak kaum-kaum lain untuk mendapat kemudahan yang sama. Inilah prinsip al-‘adl wal ihsan yang ditekankan dalam agama kita.

34. UMNO juga akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya. Bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik. Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita.

35. Fokus kepada pendidikan Islam adalah selari dengan pendekatan wasatiyyah UMNO, iaitu sederhana dan berimbang, dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan pembangunan dan ketamadunan. Al Quran memberikan asas tentang ummatan wasata sebagai strategi terbaik membangunkan Islam, bukannya pendekatan ekstrem yang hanya terpancar dengan retorik dan kenyataan-kenyataan yang umum sifatnya dan tidak memberi kesan kepada pembangunan institusi dan sistem.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 143:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى

ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ



Yang bermaksud:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

36. Dengan pendekatan wasatiyyah ini kita seimbangkan pembangunan rohani dan pembangunan fizikal, antara tuntutan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya adalah dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, Islam harus diberi makna yang luas. Ianya bukan sahaja satu sistem kepercayaan, tetapi juga cara hidup yang mencakupi segenap segi kehidupan. Al-Quran dalam Surah Al-Asr menyebutkan إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ yang memberi maksud orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang melakukan amal soleh. Ertinya, syi’ar Islam tidak hanya terpancar melalui amalan ritual semata-mata, tetapi juga melalui amal soleh dan pembangunan yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

37. Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan lapangan.

38. Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa dan kelainan agama. Sebagai contoh, sewaktu kita memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, walaupun kita dikritik hebat, hakikatnya limpahan nikmat turut sama dikongsi oleh semua kaum. UMNO tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain. Kita bukan rasis seperti DAP.

Pilihanraya Umum Ke-13

Saudara dan Saudari Sekalian,

39. Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini. Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihanraya umum ke-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

40. Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri?Jawapannya tentu sekali tidak.

41. Ayuh, gerakkan seluruh kekuatan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk menjadi benteng parti. Datuk Seri Shahrizat, Pergerakan Wanita adalah srikandi UMNO. Pengaruh wanita amat kuat dalam masyarakat. Setiap undi wanita amat penting kepada UMNO. Perkukuhkan gerakerja Jalinan Rakyat. Perhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur. Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap.

42. Saudara Khairy, andalah panglima perang paling muda dalam UMNO. Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu. Persiapkan hulubalang pemuda untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti kita. Bersedialah dengan kekuatan mental dan fizikal. Biar putih tulang, jangan putih mata!

43. Landskap politik kini adalah milik orang muda. UMNO komited untuk memberikan keyakinan, kepercayaan dan ruang kepada generasi muda. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO, berilah laluan kepada generasi muda untuk sama-sama mencurahkan bakti kepada parti. Bimbinglah mereka. UMNO tidak akan menjadi parti yang kekal selama-lamanya tanpa dokongan orang muda.

44. Datuk Rosnah, Puteri adalah permata UMNO. Pimpinlah Puteri dengan kesatuan hati dan matlamat. Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti. Perhebatkan program Puteri di segenap peringkat. Kembalikan kegemilangan Puteri sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda untuk bersama-sama mencorak hala tuju Negara. Laksanakan peranan anda dengan berkesan supaya parti kita menjadi lebih kuat.

45. Atas segalanya, kitalah yang menentukan kekuatan parti kita. Jika kita bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) parti kita akan kuat. Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihanraya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihanraya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah.

46. Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka.

47. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Marilah kita bersatu menjayakan agenda transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden. Pendekatan berani YAB Presiden dalam memperkenalkan transformasi politik, dalam menunjangi perubahan, perlu disambut oleh segenap lapisan ahli-ahli UMNO.

48. Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihanraya. Ingat, pilihanraya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihanraya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.

49. Sebagai sebuah organisasi, UMNO tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

50. Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita. Raih setiap sokongan dan keyakinan seluruh persatuan Melayu, gabungan Melayu, badan-badan ekonomi, sosial, pendidikan, agama, belia, budaya untuk bersama kita di bawah panji UMNO dalam mempertahankan survival umat Melayu. UMNO melihat seluruh organisasi Melayu sebagai pejuang. Mereka ada sumbangan dan peranan yang besar. Ajaklah penyokong pembangkang yang sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan parti mereka yang sia-sia untuk bersama-sama kita. Demi kelangsungan umat Melayu, marilah kita bersatu. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali Imran Ayat 103:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ



Yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

51. Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita.

52. Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat.

53. Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan.

Patah sayap bertongkat paruh,

Patah paruh bertongkat siku,

Patah siku bertongkat dagu,

Patah dagu bertongkat kuku.

54. Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Ketika menyeberangi Selat Gibraltar dengan bilangan tentera yang kecil, Tariq berkata kepada tenteranya:

“Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu”.

55. Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang YAB Presiden parti. Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu! Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011.

Saturday, November 26, 2011

Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun Hijrah


Assalamualaikum.
sebagai umat Islam, kita akan melangkah ke tahun baru Hijrah iaitu 1 Muharram 1433H.
Saya ingin kongsikan disini doa awal tahun dan doa akhir tahun Hijrah.

Doa Akhir Tahun:
Dibaca 3 kali pada akhir atau penghujung waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijah
klik pada image untuk paparan image yang lebih jelas


Doa Awal Tahun:
Dibaca pada 3 kali selepas solat Maghrib

klik pada image untuk paparan image yang lebih jelas

Monday, November 21, 2011

Pingat Emas Bola Sepak Sukan Sea 2011 Milik MALAYSIA




Ucapan Tahniah buat pasukan Malaysia atas kejayaan meraih pingat emas bagi bola sepak
Sukan Sea 2011. Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang telah dimenangi pada sukan sea yang lalu.

Berikut jaringan yang dihasilkan dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Sukan Sea 2011:

Minit ke-5 : S. Gunawan (Indonesia)
Minit ke-35 : Asraruddin (MALAYSIA)

Perlawanan diteruskan ke masa tambahan dan berlanjutan ke sepakan penalti.
Keputusan sepakan penalti :
Malaysia : 4
Indonesia : 3

TAHNIAH KEPADA SKUAD BOLA SEPAK MALAYSIA!
"Tanah Tumpah Darahku"


[Ucapan tahniah dari Perdana Menteri Malaysia menerusi laman Twitter nya}




Saturday, November 19, 2011

Final Bola Sepak Sukan Sea 2011: MALAYSIA vs INDONESIA



Skuad Malaysia memenangi perlawanan menentang Myanmar dengan jaringan 1-0 dalam Perlawanan Separuh Akhir Bola Sepak Sukan Sea 2011.

Jaringan tersebut telah disempurnakan oleh Fakri Saarani pada separuh masa kedua.

Malaysia akan bertemu dengan tuan rumah, Indonesia dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Sukan Sea 2011 setelah Indonesia berjaya menewaskan Vietnam dengan jaringan 2-0.

Selamat Maju Jaya skuad bola sepak MALAYSIA!!!

"Tanah Tumpah Darahku!!!"





Thursday, November 17, 2011

Malaysia Juara Kumpulan A Perlawanan Bola Sepak Sukan SEA 2011

Malaysia telah menewaskan Indonesia dalam perlawanan peringkat
Kumpulan A dengan jaringan 1-0.

Gol Malaysia telah dijaringkan oleh Syahrul Azwari '16.

Sekaligus meletakkan Malaysia sebagai juara kumpulan A bagi
Perlawanan Bola Sepak Sukan Sea 2011.

Tahniah diucapkan kepada skuad Harimau Malaya!!!
Teruskan rentak permainan bagi perlawanan yang seterusnya.



Wednesday, November 16, 2011

UCAPAN BAJET NEGERI KEDAH TAHUN 2012 OLEH YAB MENTERI BESAR KEDAH

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Negeri Kedah)

Tarikh: 15 November 2011
Pukul : 3 petang
Tempat: Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman


Assalamualaikum Warohmatullahhi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdullillahirobbil alamin Wassolatuwassalamu ala asyrabil anbiyaiwalmurssalin Waala alihi Wasohbihi ajmain.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Watallata kerana telah melimpahkan rahmatNya dan membolehkan kita semua menjalani kehidupan yang selesa serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dalam keadaan yang aman, tenteram dan sihat sejahtera.

Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataalla kerana negeri Kedah tidak mengalami apa-apa bencana pada tahun ini. Saya berdoa agar ramalan bencana banjir besar yang dikatakan akan melanda pada akhir tahun ini tidak akan menjadi kenyataan. Namun, Kerajaan Negeri tetap berwaspada pada setiap masa bagi menghadapi sebarang bencana yang melanda.

Pada petang yang berbahagia ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah dipilih untuk kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang Ke 14 mulai 13 Disember 2011. Ini merupakan sejarah kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dan Malaysia secara amnya. Semoga hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan bertambah erat demi manfaat kepada rakyat. Bagi menzahirkan kesyukuran di atas perlantikan ini, Kerajaan Negeri telah menyusun beberapa acara menarik bagi meraikan peristiwa bersejarah ini.

InsyaAllah, pada petang yang berbahagia ini saya akan membentangkan Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2012 sebagai satu kerangka kerja Kerajaan Negeri memaju dan mensejahterakan rakyat negeri ini selaras dengan slogan ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’. Diharap dengan bajet ini kerajaan dapat berperanan dengan licin dan berkesan.

Alhamdullillah, sejak Mac 2008, Kerajaan Negeri telah berusaha menyusun pelbagai projek untuk memperkasakan Negeri Kedah sama ada dari aspek ekonomi, pelaburan, pelancongan, pentadbiran dan kualiti hidup rakyat. Kerajaan berusaha sedaya upaya memastikan pentadbiran negeri diurus dengan baik secara amanah dan adil sepertimana sabda Nabi Muhammad Sollu Allahhualaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

” Tujuh golongan dilindungi Allah di hari yang tidak ada lindungan selain lindungan-Nya; pemerintah yang adil, dan pemuda yang masa mudanya digunakan untuk beribadat kepda Allah, seorang lelaki yang hatinya terikat ke masjid, dan dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, dan seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan yang bangsawan dan jelita tetapi lelaki itu menolak dengan mengucapkan sesungguhnya saya takut kepada Allah dan seseorang yang bersedekah dan disembunyikannnya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang dinafkahkan tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sendirian lalu berlinangan air matanya.(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Saya sungguh berpuas hati dengan kerjasama erat jentera pentadbiran Negeri, sokongan daripada anak syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC), pihak swasta dan rakyat yang telah memberikan semangat dan kekuatan kepada Kerajaan untuk melaksanakan semua projek yang telah diputuskan oleh Kerajaan dan menyuntik beberapa inisiatif baru demi memberi kesejahteraan kepada rakyat. Semua inisiatif dan Program pembangunan yang dirancangkan telah didokumenkan di dalam Pelan Strategik Kedah Sejahtera yang telah dilancarkan pada awal tahun 2011. Kerajaan telah melaksanakan apa yang dirancangkan ini mengikut kemampuan kewangan dan keperluan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Walaubagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang belum dilaksanakan dan Kerajaan berjanji akan terus berusaha memajukan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi perhatian kepada semua pihak dengan adil.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bagi tahun 2012, prospek ekonomi global adalah tidak menentu. Keadaan yang berlaku di beberapa negara amat membimbangkan kita. Kelembapan ekonomi negara maju, tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak, dan krisis hutang yang melanda beberapa buah negara di Eropah tentunya memberi kesan negatif kepada ekonomi dunia secara keseluruhannya. Dengan senario seperti ini, Kerajaan menjangka akan berlaku pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar yang sederhana. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup di kalangan rakyat negeri ini melalui usaha menghasilkan bahan-bahan makanan.

Kemasukan pelaburan dalam bidang pembuatan untuk beberapa tahun ini menunjukkan trend yang konsisten. Pada tahun 2009, jumlah pelaburan yang diterima adalah sebanyak 1.5 billion ringgit, jumlah ini meningkat kepada 1.96 billion ringgit pada tahun 2010. Dan sehingga Ogos tahun 2011, jumlah pelaburan yang diterima adalah sebanyak 725 juta ringgit. Pelaburan yang diterima ini menunjukkan pelabur khususnya pelabur asing menaruh keyakinan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing dan meningkatkan tahap perkhidmatan yang diberikan menerusi konsep Mesra Pelabur. Perkhidmatan yang diberikan, telah memberi keyakinan kepada pelabur asing. Kerajaan bersikap telus dan jujur dalam membantu menjayakan semua bentuk pelaburan.

Walaupun Kerajaan Negeri menyenaraikan banyak projek yang hendak dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat, tetapi Kerajaan telah mengambil langkah untuk tidak meningkatkan Bajet Tahun 2012 bagi mengelakkan defisit bajet yang besar serta membebankan Kerajaan di masa hadapan. Pengalaman beberapa negara Eropah yang sedang mengalami keruntuhan ekonomi akibat defisit kewangan hendaklah dijadikan iktibar.

Amalan pengurusan kewangan yang cermat dan berhemah akan terus dilaksanakan. Menurut Penyata Kewangan Tahun 2010, Kerajaan Negeri mencapai surplus iaitu lebihan hasil berbanding perbelanjaan di dalam akaun kumpulan wang disatukan sebanyak 22.5 juta ringgit. Al-Quran telah mengajar kita bagaimana untuk mentadbir, perbelanjan negeri secara berjimat cermat sepertimana yang diceritakan di dalam surah Yusuf dari ayat 43 hingga 49. Raja Mesir telah bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir gandum hijau dan tujuh butir lainnya yang kering. Lalu nabi Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut dengan berkata:

Maksudnya: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur."
(Surah Yusuf, ayat 47-49)

Di dalam bajet yang lalu, saya telah memaklumkan bahawa Kerajaan akan mencari jalan untuk mendapatkan sumber hasil yang baru. Sebuah Jawatankuasa Hasil telah di tubuhkan bagi menyemak dan meneliti cadangan sumber hasil yang baru. Alhamdulillah, satu sumber hasil yang baru telah dikenalpasti. Kerajaan Negeri bakal menerima hasil baru daripada aktiviti kuari bijih besi di beberapa daerah. Pada masa ini tindakan terperinci sedang dibuat oleh pentadbiran tanah dan syarikat-syarikat yang terlibat. InsyaAllah Kerajaan Negeri akan menerima bayaran royalti yang agak lumayan pada tahun hadapan.

Peruntukan Bajet tahun 2012

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bajet tahun 2012 akan menyediakan peruntukan berjumlah 1.008 billion ringgit bagi melaksanakan pelbagai program yang disusun bagi memajukan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat Negeri Kedah. Daripada jumlah tersebut, 570 juta ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus, 259 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan sebanyak 179 juta bagi perbelanjaan bekalan air.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak 38 peratus untuk bayaran Emolumen, 19 peratus untuk perkhidmatan dan bekalan, 38 peratus untuk pemberian dan kenaan tetap, 2 peratus untuk pembelian aset, manakala 3 peratus untuk lain-lain perbelanjaan.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak 57.6 peratus disediakan untuk projek infrastruktur, 12.96 peratus untuk pertanian, 16.9 peratus untuk pentadbiran dan 13.84 peratus untuk kemudahan sosial.

Jumlah hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2012 dianggarkan sebanyak 550.8 juta ringgit. Jumlah hasil dianggarkan meningkat sebanyak 5.61 peratus berbanding hasil tahun 2011 yang berjumlah 521.5 juta ringgit. Kerajaan Negeri yakin anggaran hasil yang ditetapkan ini dapat dicapai berikutan rekod kutipan hasil sebenar yang meningkat setiap tahun. Prestasi Kutipan hasil sebenar pada tahun 2007 adalah 78.9 peratus berbanding anggaran. Kutipan hasil telah meningkat kepada 91.96 peratus pada tahun 2010. Pencapaian ini menunjukkan dasar yang diamalkan oleh kerajaan dan kesungguhan bekerja semua kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan dedikasi.

STRATEGI BAJET TAHUN 2012

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan ahli-ahli yang berhormat,

Bajet tahun 2012 ini digubal berasaskan kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri. Pelbagai program pembangunan telah disusun untuk faedah rakyat. Kerajaan Negeri juga telah menerima pakai dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan Kadar Gaji kakitangan awam. Berdasarkan senario ini Bajet tahun 2012 memberi penekanan kepada empat strategi seperti berikut:

Strategi Pertama: Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi


Memperkasakan Pertanian Sebagai Perniagaan


Kerajaan telah menetapkan agar Negeri Kedah yang memiliki tanah yang subur menjadi Jelapang Makanan yang utama di Malaysia. Pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi menjayakan agenda ini. Projek Pertanian Berskala Besar yang dikendalikan oleh anak syarikat milik Kerajaan Negeri iaitu Projek Tanaman Nanas di Bukit Tangga telah menghasilkan kejayaan, manakala Projek Tanaman Mangga di Charok Genting Bunga seluas 1000 ekar sedang dalam proses penyediaan asas.

Malah beberapa usahawan tani yang menanam nanas berkepadatan tinggi telah menunjukkan hasil pengeluaran yang menggalakkan. Bagi memperkasakan pengeluaran makanan seperti nanas, sayuran dan buah-buahan, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 12.2 juta ringgit untuk projek-projek pembangunan pertanian.

Selain itu program pembangunan kawasan tanaman padi di luar kawasan MADA terus dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak 4 juta ringgit. Kemudahan pengairan dan saliran bagi kawasan tersebut akan dimajukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan sebanyak 4.95 juta ringgit.

Bagi meningkatkan pengeluaran buah-buahan, Kerajaan telah melancarkan Kempen menanam pokok buah-buahan di kalangan rakyat Negeri Kedah. Program satu rumah sepuluh pokok akan terus dilaksanakan tahun hadapan. Selain itu usaha memulihkan Dusun Rambutan yang mula dijalankan tahun ini akan terus ditingkatkan. Kerajaan berharap kalangan yang memiliki dusun rambutan menyambut baik usaha ini seperti yang dilakukan oleh penduduk di Mukim Siong baling pada tahun ini. Hasil pengeluaran rambutan yang berkualiti adalah diperlukan bagi memenuhi keperluan industri mengetin yang telah diwujudkan di Sungai Petani.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan sebanyak 6 juta ringgit untuk projek pembangunan industri ternakan iaitu tambahan sebanyak 1 juta ringgit berbanding tahun 2011. Tambahan peruntukkan sebanyak 0.4 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan veterinar termasuk peralatan teknikal.

Kerajaan sedar hasil negeri turut disumbangkan melalui hasil perhutanan. Melalui pengurusan yang baik dan kaedah tender terbuka, Kerajaan berjaya meningkatkan hasil hutan secara purata sebanyak 35 peratus bagi tempoh dua tahun sebelum ini. Bagi tempoh jangka panjang, Kerajaan melaksanakan projek Ladang Hutan Bermutu Tinggi. Sebanyak 8 juta ringgit disediakan untuk projek pembangunan ladang hutan, pemuliharaan, pembangunan sumber dan pengurusan hutan yang sempurna. Cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan ialah untuk mengawal aktiviti pencerobohan kawasan hutan yang akan menjejaskan kehidupan kita di masa hadapan.

Meningkatkan Potensi Industri Pelancongan

Pelancongan merupakan sektor ekonomi yang berpotensi dan penting bagi menambah pendapatan rakyat. Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kualiti produk pelancongan sediada tanpa mengorbankan keunikan alam semulajadi. Polisi Kerajaan Negeri ialah sentiasa memelihara warisan alam semulajadi yang menjadi tarikan utama pelancong. Pengurusan beberapa produk juga telah disusun semula. Sejumlah 2.7 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan mempromosikan produk sedia ada di tanah besar. Kerajaan telah menyerahkan pengurusan beberapa produk utama seperti Sungai Sedim, Ulu Muda, Sungai Merbok, dan Gunung Keriang kepada syarikat tempatan. Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 420 juta ringgit bagi memajukan pelancongan di Pulau Langkawi Permata Kedah. Kerajaan Negeri menyambut baik usaha ini dan akan membantu menjayakan usaha murni ini. Sebuah jawatankuasa task force telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu menyelaras dan menyusun semula Pembangunan Pantai Cenang seperti yang telah dipersetujui dengan Kerajaan Persekutuan. Mudah-mudahan usaha yang dirancangkan ini memberi manafaat kepada penduduk Langkawi dan industri pelancongan secara keseluruhannya.

Merancakkan Industri Pembuatan

Bagi sektor pembuatan pula, Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah akan memajukan 400 ekar kawasan industri di Kulim Hi-Tech Park dan 200 ekar di Bukit Kayu Hitam. Pembinaan dua projek ini bakal meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Strategi Kedua: Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan ahli-ahli yang berhormat,

Meningkatkan kesejahteraan rakyat merupakan agenda terpenting kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dan memenuhi keperluan rakyat berbilang kaum. Program-program kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.

Salah satu program yang diutamakan ialah membela golongan yang miskin sepertimana tuntutan agama Islam. Melalui sistem pendaftaran e-Sinar, Kerajaan mendapati sejumlah 17 ribu keluarga miskin sehingga 31 Oktober tahun ini. Melalui penggembelingan tenaga pelbagai pihak, Kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin sama ada dalam bentuk bantuan membaiki rumah, membina rumah baru, bantuan am melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan daripada Jabatan Zakat, sumbangan peralatan kerja dan sebagainya. Namun masih ada segolongan kecil yang tidak menerima bantuan kerana tidak mendaftar dengan e-Sinar. Saya menyeru semua ahli-ahli Yang Berhormat agar membantu kerajaan memberi penerangan kepada keluarga miskin untuk mendaftar dengan e-sinar yang dikendalikan oleh semua Pejabat Daerah. Dasar Kerajaan ini menepati dengan perintah Allah Subhanahu Wataala yang meminta kita berinfak dan membantu di jalan Allah, terutamanya membantu golongan yang tidak bernasib baik sepertimana di dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah:
Maksudnya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Untuk Tahun 2012 program membantu keluarga miskin akan ditambah. Sebanyak 1 juta ringgit disediakan untuk membaiki dan membina rumah keluarga miskin. Peruntukan khas sebanyak 50 ribu ringgit disediakan kepada setiap Dewan Undangan Negeri bagi kerja-kerja membaiki rumah keluarga miskin pada akhir tahun ini. Sebanyak 19.5 juta atau tambahan sebanyak 5 juta ringgit disediakan untuk pemberian bantuan am melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bantuan secara one off sebanyak 100 ringgit kepada seorang pelajar daripada setiap keluarga yang berdaftar dengan e-sinar sehingga 31 Oktober 2011 akan diberikan pada awal tahun 2012 sebagai bantuan meringankan beban menyediakan persediaan persekolahan anak-anak mereka. Sebanyak 1.7 juta ringgit disediakan bagi maksud ini.

Bantuan Skim Kafalah bagi meringankan beban keluarga miskin menguruskan jenazah sebanyak 500 ringgit akan di teruskan. Sebayak 4 juta ringgit disediakan bagi tujuan ini.

Rumah Mampu Milik

Program membina rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah telah dimulakan. Sebagai contoh, projek Bandar Sejahtera di Pokok Sena telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Fasa 1 telah habis dijual. Pembinaan untuk fasa berikutnya sedang dijalankan. Kerajaan telah melantik STDC iaitu anak syarikat milik kerajaan untuk membina rumah mampu milik di Kampung Seberang Terus dan Kg Teluk Yan, Alor Setar. Bancian penduduk dan kerja-kerja awalan untuk kedua-dua projek ini telah bermula. Kerajaan telah mengadakan sesi perbincangan dengan penduduk terbabit bagi menyelesaikan perkara-perkara teknikal yang berkaitan. Selain itu Kerajaan juga komited untuk membangunkan semula Kampung Kilat yang juga sebuah penempatan setinggan. Dua projek rumah mampu milik iaitu di Kuala Ketil dan Bandar Darulaman akan menyediakan kira-kira 1300 unit. InsyaAllah kesemua projek ini akan dimulakan tahun hadapan.

Kerajaan juga mendapat kerjasama daripada sebuah Yayasan yang bermurah hati memberi sumbangan membina 100 buah rumah untuk keluarga miskin di Yan. Kerja-kerja asas telah dimulakan dan pembinaan rumah akan di mulakan akhir Disember ini. Ada pihak yang membangkitkan kononnya projek ini telah dibatalkan. Sebenarnya, kawasan tapak projek seluas 15 ekar selesai ditambun pada bulan Jun tahun ini. Kerajaan dinasihatkan untuk tidak membina rumah sehingga tanah tapak projek ini kukuh dan mantap.

Alhamdulillah, Kerajaan juga menerima sumbangan daripada sebuah syarikat untuk membina rumah mampu milik di Simpang Tiga Sungai Daun, Yan. Pada masa ini urusan pengambilan balik tanah seluas 11 hektar sedang diuruskan. Kerajaan yakin projek ini bakal dimulakan tahun 2012.

Kerajaan berusaha membina rumah mampu milik di seluruh negeri. Beberapa tapak milik Kerajaan Negeri sedang dikenalpasti. Kerajaan melantik PKNK sebagai peneraju projek ini dengan usahasama syarikat swasta. InsyaAllah, usaha seperti ini bakal memberi peluang kepada 25 ribu keluarga yang mendaftar dapat memiliki rumah yang dibina oleh Kerajaan Negeri.

Sejumlah 5 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara, membaikpulih dan urusan pengeluaran hakmilik perumahan awam yang sediada. Langkah ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan penyewa sediada.

Kualiti hidup masyarakat

Kerajaan berusaha mewujudkan pembangunan yang seimbang di seluruh kawasan. Kawasan luar bandar tidak akan dipinggirkan. Sejumlah 10.9 juta ringgit disediakan untuk projek pembangunan luar bandar. Jumlah ini meningkat sebanyak 2 juta ringgit.

Penyelenggaraan jalan raya negeri akan dipertingkatkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna. Mulai tahun ini kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar bagi memperkukuhkan jalan utama yang menghubungkan antara Daerah bagi mengurangkan tempoh pengangkutan barangan dan meningkatkan keselamatan pengguna. Antara jalan yang dinaiktaraf ialah jalan daripada Bukit Selambau ke Sungai Lalang. Pada tahun 2012, Sejumlah 78.5 juta ringgit di peruntukkan untuk penyelenggaraan jalan negeri. Jumlah ini merupakan tambahan sebanyak 10 juta ringgit.

Kerajaan prihatin kepada golongan peniaga kecil di kawasan bandar yang tidak mampu membeli atau menyewa ruang niaga di pusat bandar. Bagi membantu golongan ini, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 3 juta ringgit untuk pembinaan ruang niaga kawasan bandar. Selain itu PKNK telah menyiapkan UKIR MALL di Alor Setar dan Sungai Petani yang memberi peluang kepada usahawan menjalankan operasi perniagaan di lokasi yang strategik. Untuk Tahun 2012, PKNK akan membina 2 buah bangunan lagi di Kota Sarang Semut dan Hosba yang bernilai 14 juta ringgit.

Kejadian banjir kilat adalah berpunca daripada prasarana saliran yang kurang sempurna. Bagi penduduk yang sering dilanda banjir kilat akan mengalami kerugian dan kerosakan harta benda serta menyukarkan kehidupan mereka. Pada tahun hadapan kerajaan menyediakan 15.2 juta ringgit untuk projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan menaiktaraf sistem saliran.

Strategi Ketiga: Meningkatkan Modal Insan

Kerajaan sedar pembangunan ekonomi masa depan adalah didorong oleh modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selaras dengan keadaan ini, Kerajaan berusaha gigih untuk memantapkan pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berpegang teguh dengan ajaran agama. Sehubungan itu kerajaan mengambil tindakan memantapkan Kolej Universiti Insaniah dan menyediakan prasarana pembelajaran yang berkualiti tinggi. InsyaAllah Kampus KUIN di Kuala Ketil akan disiapkan pada akhir tahun 2012. KUIN telah menyediakan semua persiapan untuk memulakan kursus perubatan pada tahun hadapan. Sejumlah 15 juta ringgit di sediakan bagi membiayai kos operasi KUIN pada tahun 2012.

Maktab Mahmud telah genap 75 tahun pada tahun ini. Kedudukannya sebagai sekolah pilihan di negeri ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Kerajaan akan terus melengkapkan prasarana Maktab Mahmud melalui pembinaan asrama Putera di Maktab Mahmud Pokok Sena, bangunan akademik di Maktab Mahmud Kulim serta menaiktaraf bangunan bilik darjah dan lain-lain kemudahan di 10 buah maktab Mahmud. Kerajaan menyalurkan sebanyak 34.5 juta ringgit bagi membiayai pengurusan dan pembangunan Maktab Mahmud.

Tambahan kepada kemudahan pendidikan yang sediada, Kerajaan menubuhkan Maahad Tahfiz Sains Darulaman iaitu Sekolah Menengah yang menggabungkan pembelajaran sains dan Tahfiz Al-Quran. Sekolah ini akan memulakan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan Satu mulai Januari tahun 2012. Saya difahamkan sambutan yang diterima adalah di luar dugaan. Kerajaan terpaksa menjalankan proses pemilihan bagi mengambil 30 orang pelajar lelaki dan 30 orang pelajar perempuan yang akan memulakan persekolahan di Kulim. Kerajaan akan memulakan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Pulau Tuba secara berperingkat-peringkat mulai tahun hadapan. Sebanyak 3.5 juta ringgit telah disediakan untuk projek ini.

Dalam masa yang sama Kerajaan juga menyalurkan bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) serta memberi sumbangan menjayakan apa-apa aktiviti perayaan masyarakat bukan Islam dengan menyediakan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit.

Sejumlah 2.1 juta ringgit disediakan bagi membiayai pinjaman kepada anak-anak Kedah daripada kalangan berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kerajaan telah memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar Negeri ini yang melanjutkan ke Universiti tempatan. Seramai 3,235 orang pelajar peringkat diploma dan ijazah telah diberikan bantuan khas pada tahun 2011 yang berjumlah 877,600 ringgit. Kerajaan akan meneruskan bantuan seperti ini sebagai menggalakkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Sejumlah 5 juta ringgit disediakan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah bagi membiayai kos operasi dan penyediaan bahan bacaan bermutu di semua perpustakaan awam dan perpustakaan desa. Kerajaan berharap para ibubapa memberi galakan kepada anak-anak untuk menggunakan kemudahan bahan bacaan yang di sediakan di perpustakaan awam.

Kerajaan sedar kemudahan sekolah menengah agama dan kelas TASKA milik Kerajaan Negeri adalah serba kekurangan. Oleh itu demi meningkatkan prestasi pelajar, kerajaan menyediakan peruntukkan 1.75 juta ringgit untuk pembelian buku teks dan peralatan mengajar. Peruntukkan tambahan sebanyak 3.6 juta ringgit disediakan untuk membayar elaun Guru KAFA pada tahun 2012 bagi maksud ini.

Strategi Keempat: Memperkasa Tadbir Urus Kerajaan Negeri

Jentera pentadbiran negeri yang cekap dan berkesan sangat penting bagi merancang dan melaksanakan semua dasar serta program Kerajaan Negeri. Bagi maksud itu, tambahan sebanyak 23 juta ringgit disediakan untuk bayaran emolumen kepada seluruh kakitangan jabatan. Jumlah ini meningkat sebanyak 9 peratus berbanding tahun 2011 berikutan keputusan Kerajaan Persekutuan yang menaikkan kadar gaji kakitangan awam. Kerajaan Negeri menerima pakai dasar ini dan menyediakan peruntukan secukupnya.

Peruntukan sebanyak 14.47 juta ringgit akan digunakan untuk pembelian pelbagai aset seperti pembelian kenderaan, kelengkapan pejabat dan peralatan kerja bagi memastikan setiap jabatan berfungsi dengan sempurna dan meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Kerajaan telah membina dan menaiktaraf bangunan beberapa Jabatan negeri seperti Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah Baling, Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim. Untuk tahun 2012 sejumlah 41 juta ringgit disediakan untuk membina dan menaiktaraf beberapa buah pejabat seperti Pejabat Tanah Langkawi dan Baling serta membina bangunan tambahan Jabatan Veterinar.

Majlis Ketua Kampung merupakan jentera pentadbiran negeri di peringkat akar umbi. Peranan mereka sebagai agen pembangunan masyarakat adalah sangat penting. Untuk itu Kerajaan menyediakan 12.7 juta ringgit bagi maksud pemberian elaun bulanan kepada 2100 orang pengerusi dan setiausaha MKK.

Bagi memantapkan perkhidmatan kerajaan secara online, sejumlah 3.5 juta ringgit disediakan untuk menaiktaraf kemudahan ICT. Semua maklumat disalurkan secara online dan beberapa aplikasi baru akan di bangunkan bagi mempercepatkan urusan kerajaan negeri.

Sejumlah 6 juta ringgit akan disalurkan kepada semua Pegawai Daerah bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di setiap Daerah.

Sejumlah 1.5 juta ringgit disediakan sebagai bantuan untuk bayaran rawatan hospital kakitangan dan pesara Kerajaan Negeri manakala 1.15 juta ringgit akan dibelanjakan untuk latihan kakitangan Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan. Peruntukkan untuk maksud ini juga disediakan kepada setiap Jabatan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, Jabatan-jabatan, anak-anak syarikat milik Kerajaan, Badan Berkanun, pihak swasta, Badan-badan bukan kerajaan yang berdiri teguh dan terus berusaha gigih melaksanakan pelbagai rancangan kerajaan negeri untuk memaju dan mensejahterakan rakyat negeri ini. Sesungguhnya komitmen dan kerjasama semua pihak telah memberikan kekuatan dan semangat kepada saya dan barisan EXCO untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh menjayakan agenda pembangunan negeri ini.

Kerajaan sedar dengan kewangan yang terhad, kerajaan tidak dapat melaksanakan semua yang dirancangkan. Oleh itu Kerajaan akan menggembeling sumber daripada anak-anak syarikat milik kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Dalam masa yang sama kerajaan terus berusaha memperkemaskan dasar, garis panduan, dan kawal selia yang telus di kalangan jentera Kerajaan Negeri bagi memudah dan mempercepatkan segala urusan.

Saya yakin amalan belanja berhemah dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah akan meningkatkan kedudukan kewangan dan imej Kerajaan Negeri. Kerajaan terus berusaha menggelakkan kebocoran di dalam pengurusan kewangan serta meningkatkan akauntabiliti di kalangan semua ketua-ketua jabatan negeri.

Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wataalla memberikan Taufik dan hidayahNya kepada kita semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini agar sentiasa mengutamakan amanah dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dengan ikhlas mengikut ajaran ajaran agama kita. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan adalah berasaskan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataalla. Semoga dengan ketaqwaan ini, Allah Subhanahu Wataalla akan membantu kita semua mengatasi segala masalah yang dihadapi seperti firmanNya di dalam surah At-Thalaaq; ayat 2 yang bermaksud:,

’Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar’

Yang Berhormat Dato Speaker

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahi taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuhi

Wednesday, November 9, 2011

BN YOUTH JOB FAIR 2011 - GRAND FINAL


Semua dijemput untuk datang beramai-ramai ke BN YOUTH JOB FAIR 2011 - GRAND FINAL

pada 18, 19 dan 20hb November di PWTC.

Ada lebih 30,000 peluang pekerjaan dari pelbagai sektor (pentadbiran, kejuruteraan, pemasaran, pertanian, perniagaan, perbankan dan banyak lagi).

Disertai oleh 556 syarikat dan agensi (Angkatan Tentera Malaysia, AIROD, Sapura, Maybank, Kuweit Bank).

Kementerian Pengajian Tinggi, MARA, MDEC dan 40 syarikat francias pula bagi memberikan khidmat kursus dan bantuan untuk mereka yang berminat dalam perniagaan.


Venue: Kuala Lumpur
18, 19 & 20 November 2011
(Putra World Trade Centre)

sila layari Facebook rasmi BN Youth Job Fair Nationwide Tour 2011